Saya merasakan pemandangan begini amat serasi dengan pengalaman kita. Ia tidak janggal, dimana pun boleh berjumpa. Entahlah, saya pun banyak tidak mempeduli soal ini, apatah lagi ingin memikirkan puncanya. Akan tetapi, memandangkan mereka adalah orang Islam, maka tidak dapat tidak saya bertanggungjawab atas masaalah mereka.
Saya biasa keluar ke sana sini, ke bandar dan ke kampung. Ada seorang makcik tua, bersama anak perempuannya. Makcik itu bertudung elok, labuh dan menepati syariat. Sedangkan anaknya tidak cukup kain, lantaran desakan ekonomi mungkin, sehinggakan tidak mampu menutup sempurna auratnya. Rambutnya perang, mungkin terlalu lama di bawah matahari, matanya merah dan biru, saya tidak mampu membezakan samada bengkak lebam ataupun warna solekan. Nyatanya, dia merasakan dirinya cantik, tetapi saya langsung tidak dapat memberikan apakah kecantikan itu padanya. Tidak ubah seperti anak patung tidak bernyawa.
Soalnya, makcik tua itu yang juga ibunya, mungkin sudah dirukhsah jika terbuka auratnya, memakai elok. Sedangkan anaknya yang (tak) cun melecun terdedah sana sini. Saya pelik, yang manakah antaranya kedua ini yang patut ditutup dan dijaga dahulu? Adakah ibunya yg sudah tiada daya tarikan atau anaknya? Pelik tapi ajaib. Manusia tidak memahami.
Kedua, ayah berkopiah dan berperawakan agak alim. Anak perempuannya juga serupa, dedahan tidak kurang hebatnya. Anehnya si ayah seolah tidak pernah menegur dan merelakan anaknya sebegitu. Saya mengamati dari segi mereka bergaul. Bagaimana si ayah ini akan dipersoalkan tanggungjawabnya.
Ketiga, si ibu berfesyen. Si anak perempuannya bertudung litup, sempurna, elok dan terjaga. Saya seolah mahu menangis. Kerana saya mengetahui si anak itu tidak memakai pakaian itu kerana didikan ibunya, akan tetapi kerana kesedaran dan kefahamannya tentang agamanya. Dan saya hanya mampu bertakbir. Si ibu? Mudah-mudahan si anak akan dpt menasihatinya, ataupun apabila telah menjadi makcik tua dia akan tau sendiri. Nyatanya, pada akhirnya insya Allah dia akan menutupi juga auratnya biarpun lambat.
Tapi apa terjadi pada yang pertama dan kedua? Mana mungkin si anak yg sudah besar mahu mendengar nasihat ibu bapanya yang telah tua?
Generasi ketiga makin bangkit. Percayalah. Yakinilah.

