Mendidik ummah tidak mudah. Mendidik ahli pun pastinya mencabar. Mengajak manusia ke arah penilaian dan pendekatan baru dalam perjuangan Islam semestinya mendapat reaksi yang pelbagai.
Bercakap, bersembang, berbincang dengan pelbagai rakan dari pelbagai latar belakang menyebabkan saya menyimpulkan manusia sentiasa terbahagi kepada tiga kumpulan.
1) Golongan yang ikhlas dan menerima dakwah
2) Golongan yang berprasangka dan dengki
3) Golongan yang tidak berbuat apa-apa
Dan disini saya tidak mahu mengulas tentang ketiga-tiga kumpulan tersebut, tetapi hati saya ingin untuk menjernihkan kepada kelompok yang berprasangka dan ragu-ragu.
Pada asasnya, setiap dari penjelasan pada sesuatu agenda semestinya dibincang, dibentang dan diulas lumat dalam satu keadaan tenang dan terbuka. Soal jawab, kekeliruan, dan rasa hati perlu diluah ketika mana agenda atau usul dilakukan. Jika ada cakap belakang atau komen ‘terlebih masa’, maka hendaklah ianya disalurkan dengan betul, dengan pemahaman bahawa seseorang itu mesti hadir atau mendengar habis ulasan si pemberi cadangan atau usul itu.
Sekiranya seseorang itu tidak berada di tempat kejadian ketika usul sedang dibincangkan, maka adalah menjadi maklum bahawa komennya tidak valid, sehingga pada pertemuan pada waktu hadapan untuk mengesahkan atau membuka kembali isu tersebut.
Namun terdapat segolongan pihak yang begitu tajam akal dan lidahnya sehingga sembrono menuduh di sana sini terhadap pihak yang mengusulkan idea, tanpa pergi atau bertemu langsung dengan pembentang usul. Apatah lagi, serangan-serangan dilakukan tanpa lebih dahulu ingin memahami atau mendalami sesuatu yang ingin dibincangkan.
KOBANNA mengeluarkan resolusi perjuangan sebuah NGO Islam yang giat aktif dalam masyarakat. Mana mungkin dicari sebuah NGO yang masih sabar dan tsabat dengan jalan tarbiyyah, yang nyata kesannya dan impaknya yang lambat. Sedang rakan-rakan NGO lain memperjuangkan sisi sisi lain Islam yang tidak kurang pentingnya.
KOBANNA menetapkan ufuk baru bagi permasalahan semasa umat Islam di Malaysia. Sesungguhnya Malaysia adalah negara yang unik, dan mempunyai cabarannya tersendiri. Mengapakah dakwah di Malaysia tidak sepantas dakwah di negara lain, contohnya Indonesia? Ramai yang terkesima malah terpesona dengan rakan dakwah di negara lain, tetapi gagal untuk memahaminya cabaran atau masalah di Malaysia tercinta ini.
Kacau bilau dan rasuk politik dan pelbagai rencam bangsa dan survival menambah lagi luka pada tanah air ini. Apa yang penting, maruah Islam dan Melayu itulah saban hari diserang dan diperlekehkan.
Tiada satu suara melambangkan Islam yang boleh disahut oleh semua umat Islam di Malaysia ini. Islam kerajaan ditolak mentah-mentah oleh blok politik Islam. Parti politik Islam pula bertalak tiga dengan segala yang berwajah Islam dari pihak lawannya, tapi mampu bertunang dengan kafir harbi yang didambakan keislamannya.
Seru hiruk pikuk ini mencacatkan pemikiran, apatah lagi 90% umat Melayu Islam yang masih terlolong dan terkinja-kinja dengan Akademi Fantasia, Mentor, Jom Heboh dan yang sealiran dengannya.
Ramai sudah muak dengan kedua-dua belah pihak.
Saya juga dirapati seorang pemuda, yang mahukan agar konvensyen ini tidak sepatutnya diadakan sebegini sahaja, malah harus diangkat dan diangkasa terus ke Dewan Parlimen. Sifirnya mudah, kalau inilah yang anda katakan sebagai yang Haq, maka mesti laungkan sekuatnya untuk melawan Al-Bathil itu…,
JAdi disini aku mempelajari beberapa perkara;
1) Jika kita yakin dengan perjuangan kita, maka kita tidak perlu malu untuk kedepan dan mempromosinya.
2) Sudah sunnah pasti akan ada terbentuk 3 golongan. Terima dan perjuang, ragu-ragu syak wasangka dan dengki, serta tidak berbuat apa-apa.
3) Sentiasa ada golongan ekstremis dan melampau-lampau dalam perdebatan, perbahasan mahupun pengamalan.
4) Ada juga rakan-rakan yang menghadiri dan duduk dalam konvensyen, tapi masih tak mampu menerangkan mesej itu kepada orang lain. Sedangkan saya hanya bertugas di gerai luar dan hanya membaca kertas kerja keesokan harinya dalam kereta perjalanan ke Ipoh!
5) Menerima komen dan feedback sangat penting untuk menguatkan dan menyempurnakan kita. Bukan untuk menjadi lemah dan tidak produktif.









